SBAS Edisi Ke-4 Buka Tirai, Cungkil Bakat Untuk SBAM

Posted on 17 Feb 2025
Source of News: Edisi UKAS
sbas 2025

KUCHING: Sukan Bekalan Air Sarawak (SBAS) Edisi Ke-4 Tahun 2025 telah membuka tirainya yang akan berlangsung bermula pada Isnin hingga Khamis ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, SBAS yang diadakan secara dwitahunan ini bertujuan sebagai medan pemilihan peserta untuk mewakili agensi bekalan air di Sarawak ke kejohanan Sukan Bekalan Air Se-Malaysia (SBAM) yang akan berlangsung di Selangor pada Ogos kelak.

"Bagi pihak Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), kita sudah tentu memberi sokongan penuh kepada penganjuran sukan seperti ini kerana ia banyak manfaat kepada kita.

"Bagi penyertaan kita di SBAM yang akan dianjurkan pada Ogos kelak di Selangor, kami di kementerian akan memberi sokongan padu kepada kontinjen yang akan mewakili kita.

"Saya menyarankan agar melakukan persiapan awal setelah kita mempunyai pasukan kelak dengan berlatih gigih untuk ke Selangor.

"Diharapkan ia akan bukan sahaja menjadi kebanggaan di sektor perkhidmatan air tetapi kebanggaan semua Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan SBAS Edisi Ke-4 yang dianjur Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) selaku tuan rumah di Dewan Akademi Kastam Diraja Malaysia Kuching pada Isnin.

Sebanyak 11 acara sukan akan dipertandingkan melibatkan 433 atlet daripada MUT, JBALB, Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS) dan Sarawak Water Sdn Bhd (dulu dikenali LAKU Management Sdn Bhd).

Antara acara sukan yang dipertandingkan adalah bola sepak, bola jaring, bola tampar, futsal, karom, damak, boling, badminton, ping pong, tarik tali dan golf (jemputan).

Majlis Penutupan SBAS akan disempurnakan oleh Menteri MUT Dato Sri Julaihi Narawi pada 20 Februari kelak. -EDISI UKAS