Penggabungan tiga agensi air hujung Februari 2025

Posted on 09 Dec 2024
Source of News: TVS

Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi merakam gambar kenangan bersama peserta larian sebelum menyempurnakan upacara pelepasan. Foto TVS
 

KUCHING, 8 Dis: Penggabungan tiga agensi utiliti bekalan air iaitu Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS) dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) dijangka berlaku pada penghujung Febuari 2025.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penggabungan itu diyakini akan meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran ketiga-tiga agensi tersebut dalam memberikan perkhidmatan air berkualiti kepada penduduk di seluruh Wilayah Sarawak.

Menurutnya, sebelum ini terdapat agensi utiliti yang digabungkan dan berjaya mempamerkan kecekapan dalam menyalurkan perkhidmatan kepada rakyat Sarawak.

“Kita bercadang untuk mengabungkan (tiga agensi) hampir setahun yang lalu memandangkan kita perlu meningkatkan dari kualiti bekalan air ke seluruh Sarawak (dan) hari ini, Kerajaan Sarawak telahpun mampu membiayai dan meningkatkan pembinaan infrastruktur bekalan air yang telah dan sedang diusahakan di seluruh Sarawak.

“Bagi memastikan perkhidmatan bekalan air dapat diperkemaskan, kita hanya memerlukan satu sahaja entiti dalam menjalankan perkhidmatan itu di seluruh negeri.

“Beberapa agensi lain saya rasa telah pun digabungkan sebelum ini dan mereka menunjukkan bahawa satu entiti ini dapat meningkatkan dari segi kebaikan serta kualiti bekalan dan perkhidmatan utiliti di Sarawak,” ujarnya.

Dr Abdul Rahman berkata demikian kepada TVS ketika ditemui selepas Larian Lembaga Air Kuching bersempena 65 tahun penubuhan agensi tersebut pada Ahad.

Menyentuh mengenai larian itu, Dr Abdul Rahman menjelaskan, larian itu adalah yang terakhir bagi LAK yang mana ia akan diganti dengan rogram Pencarian Harta Karun selepas gabungan tiga agensi terbabit tahun hadapan.

Hadir sama di acara larian tersebut, Pengurus Besar LAK, Rodziah Mohamad-TVS