Larian LAK dapat sambutan menggalakkan

Posted on 09 Dec 2024
Source of News: TVS
NOTICE

Rodziah Mohamad ketika menyampaikan ucapan. Foto TVS

 

KUCHING, 8 Dis: Larian Lembaga Air Kuching (LAK) bersempena ulangtahun ke-65 penubuhan mendapat penyertaan mengalakkan dengan 550 peserta melibatkan warga kerja LAK, kumpulan kelab larian dan penduduk terlibat.

Ia kembali diadakan selepas kali terakhir dilangsungkan pada 2016 selain merupakan yang terakhir sebelum penggabungan LAK, Lembaga Air Sibu (LAS) dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU).

Pengurus besar LAK, Rodziah Mohamad berkata, objektif utama larian adalah untuk mengumpulkan pelari dan penduduk Kuching selain sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan LAK sepanjang penubuhannya.

“Acara ini diadakan untuk menghimpunkan orang ramai, itu tujuan utamanya. Kita jemput secara langsung atau tidak langsung dan berkait rapat dengan LAK.

“Dengan erti kata lain, acara ini adalah sebagai tanda terima kasih kerana apabila orang ramai datang ke LAK, kita tidak berpeluang beramah mesra dengan mereka.

“Inilah masanya di mana kita berkumpul dan berkongsi maklumat dengan orang ramai dan warga kerja LAK, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS ketika ditemui pada larian tersebut pada Ahad.

Larian tersebut terbahagi kepada dua iaitu tujuh dan empat kilometer dengan menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang pertama hingga kelima dan saguhati kepada peserta yang menamatkan larian.

Kategori tujuh kilometer menyaksikan pelajar Tingkatan 5 SMK Padungan, Muhamad Amirul Mohammad muncul juara.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi hadir menyempurnakan upacara pelepasan.-TVS